
MIRI: Sebuah lori musnah dalam kebakaran yang berlaku di kawasan perumahan Taman Milea Residence, Jalan Miri By-Pass, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.43 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi pada 4.50 pagi, pasukan bomba mendapati sebuah lori sedang marak terbakar.


TERBAKAR…Sebuah lori terbakar di kawasan perumahan Taman Milea Residence, Jalan Miri By-Pass awal pagi tadi. Foto BBP Lopeng.
Pasukan bomba berjaya mengawal api pada 4.55 pagi dan memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya pada 5.08 pagi.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Punca sebenar kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Turut hadir membantu di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).