
MIRI: Polis Trafik Miri meneruskan usaha membanteras aktiviti samseng jalanan melalui satu operasi khas yang dijalankan di Taman Tunku di sini petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Miri bermula 5.00 petang hingga 10.00 malam itu melibatkan seorang pegawai kanan bersama sembilan anggota polis.

“Operasi ini bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan trafik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 18 kenderaan telah diperiksa, dan 10 motosikal ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati telah diubah suai daripada struktur asal selain untuk pemeriksaan lanjut.
Selain itu, 20 individu turut diperiksa dan 40 saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Mohd Farhan menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
“Polis menasihatkan penunggang motosikal supaya sentiasa menunggang dengan berhemah, tidak mengubah suai kenderaan, serta tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri dan orang lain,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan dan gangguan bunyi bising yang menjejaskan ketenteraman awam.
Pihak polis juga menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400.