
PETRA JAYA: Teater muzikal ‘Rimba Rangers’ yang dipentaskan sejak semalam hingga esok di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya memukau penonton dengan persembahan penuh warna, emosi dan mesej mendalam tentang pemeliharaan alam sekitar.
Dianjurkan oleh Persatuan Sikreate dengan kerjasama Semarak Kreatif dan UNIMASTAGE, pementasan ini bukan sekadar hiburan pentas tetapi juga satu pendekatan kreatif untuk menarik minat kanak-kanak memahami kepentingan menjaga kehijauan rimba.

‘Rimba Rangers’ membawa penonton menyelami keindahan hutan hujan Sarawak yang mula tergugat oleh kerakusan manusia.
Kisahnya bermula apabila kehidupan liar yang damai diganggu oleh sekumpulan pembalak haram yang diketuai oleh Darwin, watak antagonis lakonan Malek Hassan, seorang lelaki tamak yang sanggup merosakkan alam demi keuntungan.

Bagi menghadapi ancaman itu, Bruno, seekor Orang Utan bijak yang dilakonkan Anding Indrawani, muncul sebagai ketua pasukan pelindung alam bernama ‘Rimba Rangers’.
Bersama rakan-rakannya iaitu Amad si Beruang Matahari, Onana si Burung Kenyalang, Kobbie si Monyet Probosis dan Antony si Tenggiling, mereka berjuang mempertahankan habitat hutan daripada dimusnahkan.

Dibantu oleh pari-pari hutan, kumpulan sahabat ini diberikan kuasa adiwira untuk menentang kerakusan manusia.
Namun keadaan menjadi semakin genting apabila Darwin mendapatkan bantuan seorang pawang gelap bernama Saka, yang menggunakan ilmu hitam untuk melemahkan pasukan pelindung alam itu.
Walaupun berdepan cabaran dan kehilangan rakan, ‘Rimba Rangers’ akhirnya bangkit semula dengan semangat setiakawan serta keberanian luar biasa sebelum menewaskan Darwin dan mengembalikan keamanan rimba.

Gabungan muzik, nyanyian dan koreografi bertenaga menjadikan pementasan ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menyampaikan mesej pendidikan yang mudah difahami, terutama kepada penonton muda.
Setiap watak membawa nilai kemanusiaan yang tersendiri. Kebijaksanaan Bruno, kekuatan Amad, kepantasan Onana, kelincahan Kobbie dan ketenangan Antony menggambarkan semangat bersatu mempertahankan bumi daripada kemusnahan.
Hasil daripada kekuatan lakonan, visual yang memukau dan mesej yang disampaikan secara ringan serta berkesan, ‘Rimba Rangers’ menyerlah sebagai karya yang bukan hanya menghibur malah mendidik masyarakat tentang tanggungjawab bersama menjaga alam sekitar.
Oleh Adele Rissa dan Amanda L