
SRI AMAN: Penduduk di kawasan Nanga Skrang tidak pernah diabaikan daripada menikmati pembangunan sejak menjadi wakil rakyat pada 1996.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menegaskan, pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan asas telah dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan penduduk luar bandar turut menikmati arus kemajuan negeri.
“Sejak saya menjadi wakil rakyat pada 1996, Nanga Skrang sentiasa mendapat perhatian kerajaan. Tidak ada satu pun kawasan yang diabaikan daripada aspek pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) yang diadakan di Rumah Thomas Ramba, Kampung Brangan Ulu, Nanga Skrang, semalam.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut mengingatkan pihak tertentu supaya membuat pengesahan sebelum melontarkan dakwaan bahawa tiada pembangunan dibawa ke kawasan Nanga Skrang.
Beliau menegaskan, setiap agensi penyampai maklumat rakyat perlu memastikan fakta yang dikemukakan adalah benar agar tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan.
Sementara itu, Program Pembangunan Komuniti MDSA yang dianjurkan itu adalah menjadi platform jangkauan luar kepada rakyat pedalaman untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai pembangunan, pendidikan sosial dan perkhidmatan agensi kerajaan.

Antara pengisian program ialah ceramah pencegahan penyakit rabies dan denggi oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman, ceramah pelesenan kedai runcit oleh Majlis Daerah Sri Aman serta taklimat kesedaran penipuan siber atau ‘scammer’ oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.
Pada majlis itu, Harden turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM6,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Brangan Ulu dan RM5,000 kepada Biro Wanita, selain Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk pembinaan gelanggang futsal bernilai RM250,000 bagi peruntukan 2026.
Oleh Adi Safarman