
KUCHING: Sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Wan Abdul Rahman, Kenyalang Park di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kebakaran malam ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.56 malam.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dengan kekuatan 23 anggota bersama tiga jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai. Bantuan turut diterima daripada BBP Batu Lintang dan BBP Tabuan Jaya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurut beliau, pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.03 malam dan mendapati api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah berkenaan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan dari pam jentera dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran,” jelasnya.
Katanya, keluasan rumah dianggarkan berukuran 40 kali 60 kaki persegi dan kerja pemadaman berjaya dikawal sekitar 8.20 malam.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.