


TANGKAPAN DADAH… Tiga lelaki yang ditangkap atas kesalahan penyalahgunaan dadah dalam operasi berterusan memerangi kes dadah di Lawas.
LAWAS: Tiga lelaki berusia antara 24 hingga 50 tahun yang masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah telah ditangkap dalam satu operasi berterusan membanteras penyalahgunaan dadah di Lawas.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu suspek pertama berusia 50 tahun telah ditahan di Jalan Punang Lawas pada 10.00 pagi.
Beliau kemudian dibawa menjalani ujian air kencing dan didapati positif dadah jenis AMP/METH. Semakan kesalahan lampau terhadap suspek mendapati mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan dadah.
Dalam operasi yang sama di Sundar sekitar 1.00 petang, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis AMP/METH. Semakan terhadap rekod lampau suspek juga menunjukkan bahawa beliau mempunyai empat kesalahan terdahulu berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Seterusnya, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di bandar Lawas atas kesalahan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis AMP/METH. Semakan rekod lampau turut menunjukkan bahawa suspek mempunyai dua kesalahan terdahulu berkaitan dadah.
Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis.
Oleh Adeng Edrus