
LHASA: Semua pendaki dan petugas perkhidmatan pendakian tempatan yang terkandas akibat salji lebat di Daerah Dingri, Bandar Xigaze di Wilayah Autonomi Xizang (Tibet), barat daya China berhampiran Gunung Everest, berjaya diselamatkan, demikian menurut kenyataan kerajaan tempatan pada Selasa, lapor Xinhua.
Seramai 580 pendaki dan lebih 300 petugas termasuk pemandu tempatan serta penggembala yak, selamat tiba di Pekan Qudeng dan kawasan berhampiran, di mana kakitangan tempatan sedang mengatur perjalanan pulang mereka secara teratur, menurut kerajaan daerah itu.
Kira-kira 12 pendaki telah diiringi ke titik pertemuan dengan bantuan pasukan tempatan yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan, peralatan pemanas dan oksigen.
Salji lebat mula melanda Dingri pada Sabtu malam, menjejaskan pendaki di laluan pergunungan berhampiran Qudeng.
Kerajaan daerah segera menggerakkan pasukan kecemasan bagi menyelaras usaha komunikasi dan bantuan di kawasan terjejas.
Pada Ahad, kerajaan Dingri mengumumkan beberapa kawasan pelancongan, termasuk kawasan pelancongan Gunung Everest, ditutup sementara berikutan salji lebat.- Bernama-Xinhua