PARIS Saint-Germain merakam penghargaan kepada kapten Thiago Silva dengan menganggapnya ‘salah seorang terhebat’ selepas dia bakal berpindah ke kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.
“Thiago, terima kasih lapan tahun bersama kami. Memori, kepimpinan dan komitmen yang tak dapat dilupakan.Anda adalah salah satu yang hebat dan status legenda anda di PSG akan kekal selamanya,” kata Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dalam kenyataan kelab.
“semoga anda dan keluarga meraih kejayaan dalam cabaran baharu, anda akan selalu menjadi sebahagian daripada keluarga dan sejarah kami, Merci Captain.”
Silva, 35, menjalani ujian perubatan di London semalam dan dijangka menandatangani kontrak dua tahun bersama Chelsea, menurut laporan di Britain.
Pertahanan tengah veteran Brazil itu menikmati detik gemilang bersama juara Perancis dengan menjuarai Ligue 1 tujuh kali dan lima Piala Perancis selain tampil 315 perlawanan bersama PSG.
Silva bakal menjadi pemain terkini ditandatangani Chelsea selepas berjaya mendapatkan Timo Werner, Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Malang Sarr.
skuad ‘The Blues’ turut menjadi kelab pilihan menandatangani bintang muda Bayer Leverkusen, Kai Havertz.-AFP