
SARATOK: Sistem pendidikan yang baik merupakan usaha dan keutamaan penting dalam membentuk masa depan yang lebih cemerlang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Beliau berkata, kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah membolehkan kerajaan negeri terus memberi tumpuan serius terhadap pembangunan sektor pendidikan.
“Pelbagai inisiatif dan bantuan pendidikan telah dilaksanakan kerajaan negeri demi memastikan akses pendidikan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya selepas lawatan tapak projek di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk pemberian komputer riba percuma, baucar buku dan bantuan kewangan khas untuk pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Tambah beliau, bermula tahun depan, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) akan memberi manfaat besar kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi milik negeri seperti Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.
“Lebih menarik, pelajar daripada isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 sebulan atau kurang akan menerima elaun sebanyak RM15,000 setahun,” jelasnya.
Mohamad Duri berharap anak-anak muda khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka mengambil peluang daripada pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan negeri bagi mengubah nasib diri dan keluarga melalui pendidikan.
“Saya menggesa anak-anak di SK Abang Abdul Rahman Saratok untuk terus berusaha, belajar bersungguh-sungguh dan jangan pernah berputus asa sehingga mencapai kejayaan,” katanya.
Oleh Adi Safarman