

SIBU: Polis menahan seorang pemandu kereta yang dipercayai melanggar sebuah motosikal hingga menyebabkan penunggangnya terjatuh dalam satu kejadian di Jalan Oya berhampiran Sekolah Menengah St. Elizabeth, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejadian itu tular di media sosial selepas satu rakaman video berdurasi 1 minit 29 saat dimuat naik di laman Facebook menunjukkan insiden berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Oya berhampiran SMK St. Elizabeth. Pemandu kereta terbabit telah melarikan diri selepas melanggar motosikal dan turut melanggar beberapa kenderaan lain di sekitar lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian bagi membantu siasatan, hasil ujian awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine.
Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sibu membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya di jalan awam.
“Jika sabit kesalahan, pemandu boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun,” tegasnya.
Pada masa sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan keputusan ujian air kencing yang positif dadah.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zulkifli menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
“Orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus,” katanya.
Oleh Akun Giman