
ENGKILILI: Satu kejadian pokok tumbang di Lubok Subong, di sini pagi tadi menyebabkan jambatan menuju ke Klinik Kesihatan Nanga Kesit terhalang, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 10.42 pagi berhubung kejadian itu.
“Pasukan APM bergerak ke lokasi dua minit kemudian dan tiba pada 11.15 pagi. Setibanya di tempat kejadian, didapati pokok yang tumbang telah pun dibersihkan oleh penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda, namun menyebabkan laluan di jambatan berkenaan terhalang sementara.
Seramai empat anggota APM dari pasukan MyASPA-O Charlie dikerahkan ke lokasi bersama sebuah kenderaan operasi dan kelengkapan keselamatan termasuk dua mesin gergaji rantai serta peralatan pemotongan.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar segera menghubungi pihak APM sekiranya berlaku insiden serupa pada masa hadapan bagi memastikan keselamatan dan tindakan pantas dapat diambil.
Kejadian itu disedari oleh Penghulu Kunsil yang kemudian menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan segera selepas menerima maklumat daripada penduduk kampung.
Oleh Adi Safarman