MANILA: Istana Malacanang semalam meredakan kebimbangan tentang keadaan kesihatan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang didakwa semakin merosot.
Menurut laporan AFP, jurucakap presiden, Harry Roque berkata, terlalu banyak spekulasi tentang perkara walaupun pada hakikatnya, pemimpin berusia 75 tahun itu sebenarnya sihat seperti biasa.
Desas-desus itu tercetus gara-gara nasihat diberi doktor kepada beliau supaya mengawasi dietnya kerana penyakit Barrett Esophagus berkaitan kerongkong yang didakwa menghampiri barah tahap satu.
“Nasihat itu diberikan sudah lama ketika Duterte masih mengambil minuman alkohol. Beliau sudah lama berhenti tabiat itu sejak bergelar presiden,” ujarnya.
Sebelum ini, Duterte secara terbuka pernah mengakui beliau menghidap beberapa penyakit termasuk masalah tulang belakang dan penyakit autoimun yang merosakkan reseptor otot dan boleh mengakibatkan kelopak mata jatuh atau tubuh menjadi lemah. – AFP