

PANTAU DI LOKASI… Anggota APM Sarikei memantau keadaan di lokasi berisiko banjir, hari ini. Foto APM Sarikei
SARIKEI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei meningkatkan kesiapsiagaan dengan melakukan pemantauan awal di kawasan berisiko banjir, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata empat anggota APM Sarikei yang diketuai Sarjan (PA) Iswandi Wahedi turun padang memantau kawasan sekitar Jalan Bank dan Jalan Wisma Jubli bermula 9.12 pagi hingga 9.25 pagi bagi keadaan di lokasi susulan hujan lebat melanda.
“Hasil tinjauan mendapati paras air di kedua-dua lokasi berada pada tahap surut dan terkawal.
“Manakala keadaan cuaca hujan tidak menjejaskan keselamatan kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi.


EDAR RISALAH…. Anggota APM Sarikei mengedarkan risalah kepada orang awam berkaitan langkah keselamatan ketika banjir. Foto APM Sarikei
Tambahnya, rondaan dan pemantauan tersebut dijalankan bagi mengenal pasti sebarang peningkatan paras air serta menilai risiko banjir.
“Kami menjalankan pemantauan berkala bagi mengenal pasti kawasan berisiko banjir.
“Setakat pagi ini, keadaan cuaca hujan tetapi paras air di kawasan pasar Sarikei masih surut dan terkawal.
“Pasukan kami juga memastikan logistik dalam keadaan baik dan sentiasa bersiap siaga untuk diatur gerak sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Katanya, pemantauan seperti ini membolehkan anggota APM menyalurkan maklumat semasa kepada orang ramai, selain mengedarkan risalah berkaitan langkah keselamatan ketika banjir.
“Kami turut menyampaikan maklumat tentang pengoperasian APM supaya masyarakat tahu saluran untuk mendapatkan bantuan dan tindakan yang perlu diambil jika berlaku kejadian banjir,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek