KUCHING: Salah satu usaha merancakkan lagi ekonomi setempat adalah dengan menarik minat dan memberi peluang kepada masyarakat untuk mempromosikan pelancongan melalui penceritaan atau ‘story telling’.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri, dengan kelebihan dari segi hasil kraf tangan, produk tempatan, tempat tarikan, seni dan budaya yang ada, ia mudah untuk dipamerkan memandangkan kini negara lebih ke arah digital.
“Perlu ada cerita untuk menarik minat orang pergi ke tempat tertentu, gunakanlah peluang masa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini untuk kita mempromosikan tempat yang menarik di kawasan kita. Kongsikan di facebook, instagram ataupun twitter untuk orang lebih mengetahui mengenainya,” katanya.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata demikian dalam program bual bicara ‘Abas Orang Kamek, Kafe Kamek’ anjuran Sarawak Volunteers dengan kerjasama UKAS dan CATSFM yang bersiaran secara langsung di facebook semalam.
Tambahnya, setiap penceritaan adalah bergantung kepada kreativiti individu itu sendiri, bagi menghasilkan permintaan umum sekali gus menambah pendapatan.
“Semua kita ‘frontliner’ dalam pelancongan terutama sekali untuk mempromosikan produk tempatan. Kita perlu reinvent new product, apa yang kita rasa dapat menarik minat.
“Harapan saya, semua orang Malaysia, perlu memikir tempat, makanan dan budaya. Kita ada kemahiran, kita jualkan produk supaya dapat menambahkan hasil pendapatan orang kita di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan supaya orang luar yakin bahawa tempat kita selamat untuk dilawati ” ujarnya.
Dalam temubual khas itu, beliau turut berkongsi mengenai rancangan ‘Selling Sarawak In a Box’, yang juga merupakan satu langkah untuk mempromosikan Sarawak di mata dunia.