
KASHAN (Iran): Gempa bumi bermagnitud 5.3 menggegarkan bandar Zavareh, Ardestan di utara Wilayah Isfahan, Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Pusat Seismologi Institut Geofizik Universiti Tehran mengumumkan gempa bumi itu berlaku pada 5.03 pagi Jumaat dengan kedalaman 10 kilometer di bawah permukaan bumi.
Gempa bumi itu turut dirasai di bandar Tehran dan Qom.
Gabenor Ardestan, Mohsen Heydari memberitahu IRNA pada pagi Jumaat bahawa setakat ini, gempa bumi itu tidak menyebabkan sebarang korban jiwa atau kerosakan.
Gempa bumi itu berlaku 63 kilometer dari Zavareh dan 77 kilometer dari Ardestan.
Daerah Ardestan, yang mempunyai lebih 43,000 penduduk, terletak 118 kilometer di utara Isfahan.- Bernama