KUALA TERENGGANU: Persetujuan UMNO dan PAS untuk menerima Bersatu sebagai ahli dalam Muafakat Nasional (MN) adalah langkah yang sangat positif dalam memperkukuh muafakat politik di Malaysia, kata Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, muafakat politik yang lebih kukuh akan membawa negara ke arah yang lebih baik berbanding dengan keadaan sebelum ini.
“Jadi saya rasa ia (muafakat politik) ini sangat dialu-alukan oleh semua pihak termasuk dalam kalangan rakyat juga. ..saya ada baca satu kaji selidik yang dijalankan pihak tertentu mengenai perkara ini dan hasilnya mendapati terdapat peratusan yang tinggi dalam mengharapkan muafakat politik yang terbentuk antara tiga parti ini dapat direalisasikan,” katanya.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Husa Network Sdn Bhd bagi menjalin kerjasama antara Bernama Radio dan Manis FM di sini semalam.
Ditanya sama ada perkembangan terbaru itu akan menimbulkan pertelagahan dalam kalangan akar umbi, beliau berkata pimpinan tiga parti politik itu perlu memainkan peranan dalam memberi penjelasan kepada penyokong masing-masing.
Ahmad Samsuri berkata, adalah lazim bagi perkara baharu seperti itu akan memerlukan orientasi kefahaman.
“Muafakat politik ini …ia adalah perkara baharu dalam masyarakat kita ini, jadi perlu ada satu ‘adjustment’ atau ubah suai kefahaman dan cara bertindak dalam masyarakat kita”..yang penting peranan di peringkat kepimpinan tertinggi setiap parti untuk memberi penerangan kepada semua penyokong agar mereka lebih memahami keputusan ini demi muafakat politik yang lebih baik untuk negara,” katanya. – Bernama