KUALA LUMPUR: Setiap keluarga umat Islam digalakkan memiliki takwim hijrah di kediaman masing-masing sebagai rujukan ataupun kompas kehidupan yang berkait dengan syariat Islam serta peringatan kepada tarikh penting dalam kalendar Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, segala ibadah dalam Islam perlu merujuk kepada tahun hijrah, dan takwim berkenaan amat penting dalam menentukan segala hari kebesaran, haul zakat, tempoh iddah dan umur baligh.
“Takwim memainkan peranan amat kritikal dalam pengurusan kehidupan manusia. Ia merupakan sistem masa berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan serta urusan pentadbiran kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Takwim Hijrah Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di sini semalam.
Pada majlis itu, PICOMS, sebuah institut pengajian tinggi milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), melancarkan sebuah kalendar Takwim Hijrah melalui kerjasama dengan I Quest Training & Consultancy yang mempunyai ciri-ciri istimewa khusus kepada umat Islam sebagai panduan dan rujukan seharian.
Antara ciri dipaparkan takwim itu ialah sistem warna digunakan dan infografik serta simbol unik bagi menunjukkan tarikh penting dalam kalendar umat Islam, maklumat hari sesuai melakukan puasa sunat dan membaca al-Quran, selain hari perayaan, cuti umum dan persekolahan.
Zulkifli berkata Kempen 1 Rumah 1 Taqwim yang dilancarkan PICOMS juga wajar diperluaskan agar seluruh masyarakat Malaysia mendapat makluman dan manfaat menggunakan takwim Islam itu dalam kehidupan seharian. – Bernama