CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga merupakan perkara yang tidak wajar dipandang ringan, khususnya apabila melibatkan saat kehilangan dan kedukaan.
“MCMC telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut.
“Sekiranya hasil penelitian mendapati terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi serta melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
Menurut MCMC, kemajuan AI memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.




