TATAU: Sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, penduduk di negeri ini digesa untuk sama-sama mengibarkan bendera sebagai salah satu cara ini meningkatkan semangat patriotisme.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, setiap warga negara Malaysia harus mempunyai semangat cintakan dan sayangkan negara.
“Bersatu padu, saling bekerjasama dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti akan menjamin keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum dan adat resam di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Muli Anak Bilap, KM2, Jalan Tatau – Bintulu, Tatau Menurutnya, sempena bulan kemerdekaan tunjukkan semangat patriotisme dan taat setia kepada negara dengan memasang bendera.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata, perpaduan kukuh dalam kalangan penduduk menjamin kesejahteraan hidup rakyat.
Sehubungan itu beliau berharap perpaduan kaum khususnya di rumah panjang hendaklah sentiasa dipertahankan.
Dalam perkembangan sama beliau juga menambah lantikan Tuai Rumah adalah bukan lantikan politik.
“Jika sebarang pertukaran Tuai Rumah, rakyat rumah panjang diberi kuasa untuk memilih siapa yang akan menjadi ketua mereka”
“Selepas pemilihan, minit mesyuarat berkaitan bolehlah dihantar ke Pejabat Daerah untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Selain itu katanya, penduduk rumah panjang juga boleh memohon pihak Pejabat Daerah untuk menyelia pemilihan, sama ada diadakan di rumah panjang atau di bilik mesyuarat Pejabat Daerah.
Semasa program tersebut turut disampaikan sijil lantikan Tuai Rumah (Tr) kepada Tr Vicky Engkalom dan Tr Mat Sampei.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada JKKK Rumah Muli, manakala RM5,000 kepada Biro Wanita rumah panjang itu.
Oleh Ellie Edward