Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Lebih 60 terbunuh akibat gempa 6.9 magnitud landa pulau Cebu, Filipina
  • GLOBAL

Lebih 60 terbunuh akibat gempa 6.9 magnitud landa pulau Cebu, Filipina

Utusan Sarawak 5 days ago
GEMPA bumi berukuran 6.9 magnitud melanda kawasan pantai tengah Filipina lewat 30 September. Jumlah kematian akibat gempa bumi kuat di tengah Filipina meningkat kepada sekurang-kurangnya 69 orang pada 1 Oktober, menurut seorang pegawai bencana, dengan puluhan pesakit yang cedera memenuhi hospital-hospital di pulau Cebu. Foto: AFP

MANILA: Angka korban akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda perairan berhampiran pulau Cebu di tengah Filipina meningkat kepada 69 orang dengan 147 lagi cedera, menurut pegawai kerajaan Filipina pada Rabu, lapor Kyodo News.

Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, gempa itu berlaku pada 9.59 malam Selasa di perairan 19 kilometer timur laut Bogo di utara pulau berkenaan.

Sekitar 1,000 penduduk dipindahkan, kebanyakannya enggan pulang ke rumah kerana bimbang gegaran susulan, menurut seorang pegawai Pejabat Pertahanan Awam kerajaan.

Jumlah korban dijangka terus meningkat memandangkan operasi menyelamat masih diteruskan dan lebih banyak laporan kerosakan diterima.

Pasukan penyelamat terus menyusuri runtuhan struktur yang roboh. Di pekan San Remigio, sebahagian gimnasium runtuh ketika perlawanan bola keranjang sedang berlangsung.

Pihak berkuasa tempatan turut berkongsi gambar dalam talian menunjukkan kerosakan gereja, termasuk Gereja Archdiocesan Shrine of Santa Rosa de Lima, mercu tanda bersejarah di Daanbantayan, utara Bogo, selain jalan raya dan bangunan. Gangguan bekalan elektrik juga dilaporkan di banyak kawasan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu, pintu masuk utama ke Cebu yang merupakan destinasi pelancongan utama di Filipina, masih beroperasi walaupun berlaku gangguan sementara susulan gempa tersebut.- Bernama-Kyodo

Continue Reading

Previous: Pesawat Qantas menuju ke Afrika Selatan patah balik ke Sydney akibat masalah teknikal
Next: Vietnam: Taufan Bualoi ragut 34 nyawa, kerugian AS$332.51 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.