
SIBU: Sejarah tercipta buat Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Sarawak apabila buat pertama kali dijemput menyertai Hari Peringatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2025 yang diadakan di Tugu Negara, Kuala Lumpur pada 21 September lalu.
Lebih membanggakan, PVTLDM Sarawak turut diberi penghormatan meletakkan kalungan bunga bagi mewakili para veteran dan seluruh rakyat Sarawak semasa upacara penuh istiadat itu berlangsung.
Presiden PVTLDM Sarawak, Pegawai Waran 1 (B) Unyok Dasi berkata, jemputan berkenaan merupakan satu penghargaan besar terhadap lebih 200 ahli persatuan tersebut di seluruh negeri.
“PVTLDM Cawangan Sarawak amat berbangga kerana bukan sahaja dijemput hadir, malah diberi penghormatan untuk meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara.
“Ia mewakili bukan sahaja veteran-veteran TLDM di Sarawak, tetapi juga rakyat Sarawak secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Jemputan rasmi itu diterima daripada Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA) selaku penganjur utama Hari Peringatan ATM 2025.
Menurut Unyok, PVTLDM Sarawak turut menerima jemputan kedua daripada Persatuan Veteran Keselamatan Pulau Pinang bagi menghadiri upacara tahunan memperingati perajurit yang terkorban, yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada pertengahan November ini.
“PVTLDM Cawangan Sarawak amat berbesar hati dengan jemputan itu dan kami akan mengadakan perbincangan lanjut dalam masa terdekat bagi memastikan kehadiran serta penglibatan kami dapat membantu menjayakan upacara tersebut,” ujarnya.
Beliau menambah, upacara peringatan seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat solidariti dalam kalangan para veteran, malah berperanan penting dalam menyedarkan generasi muda bahawa keamanan negara hari ini terhasil daripada pengorbanan darah dan nyawa para perajurit terdahulu.
Oleh Akun Giman