LAWAS: Projek Rimbunan Kaseh (RK) di Sundar akan dihidupkan semula oleh Kerajaan Sarawak dibawah kendalian pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan tanah Sarawak (LCDA).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan bahawa projek RK ini telah dihentikan oleh Kerajaan Persekutuan dibawah Pakatan Harapan(PH) yang menyebabkan ramai peserta terjejas kehidupan mereka.
Sejajar perkembangan semasa dan melihat potensi program ini, kerajaan GPS tampil menerusi LCDA meneruskan program RK di Sundar yang memfokus kepada tanaman Rock Mellon, Gold Mellon dan pengeluaran benih ikan berkualiti.
“Projek ini akan dikendalikan oleh pihak swasta yang dijangka menelan kos RM3juta untuk menghidupkan dan menjana pendapatan peserta terlibat.
Pihak swasta akan lebih kepada aspek pengurusan dan pemasaran yang memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling,” tambahnya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Dua, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak menyatakan demikian kepada media selepas perasmian majlis Agriculture Community Outreach Programme(AgriCop) di Dewan Kampung Tanjong Katong Sundar hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Japaruddin Ali, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan ketua masyarakat lainnya.
Seterusnya beliau menjelaskan bahawa kerajaan GPS di Sarawak sentiasa melihat aspek kebajikan rakyat dan usaha untuk meningkatkan kehidupan mereka.
Justeru rakyat harus sedar yang GPS sentiasa terus mengutamakan rakyat hingga sedia membelanjakan peruntukan melalui bajet kerajaan Sarawak untuk menghidupkan berbagai projek rakyat yang telahpun dihentikan oleh PH sewaktu menjadi kerajaan di peringkat persekutuan dahulu.
Awang Tengah juga memberitahu bahawa penternak kerbau di Daerah Lawas boleh menambah pendapatan baru melalui penjualan susu kerbau untuk menghasilkan keju bermutu tinggi.
“Kita difahamkan seekor kerbau boleh menghasilkan 3 hingga 4 liter susu dan ini boleh memberi pendapatan sekurangnya RM400 sebulan untuk susu kerbau,” ujarnya.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Tanah Adat, Datuk Dr. Abdul Rahman telah membawa pengusaha keju terkenal daripada semenanjung bertemu Awang Tengah yang berminat mendapatkan susu kerbau daripada Lawas.