
KUALA LUMPUR: Lagu Joget Budayagubahan Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab menjadi pilihan penyanyi veteran Rozita Rohaizad untuk membuka persembahannya pada Festival Mela One World Day di Union Terrace Garden, Aberdeen, Scotland pada 7 September lepas.
Lagu popularnya dari era 1970-an itu ternyata mencuri tumpuan apabila dipersembahkan dengan iringan demonstrasi langkah joget oleh seorang ahli kumpulan tempatan The Melting Pot Collective Fusion Band yang mempelajarinya hanya sehari sebelum persembahan itu.
“Saya melatih dia dengan langkah joget, dan dia cepat belajar, malah pada hari persembahan dia berjaya menarik perhatian penonton,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Rozita berkata penghormatan yang diberikan kepada beliau di festival itu membolehkannya memperkenalkan lagu Melayu kepada khalayak antarabangsa, selain membina jalinan persahabatan dengan pemuzik luar negara.
Beliau berkata persembahan kali ini juga istimewa kerana turut diiringi tujuh pemuzik Scotland terdiri daripada pemain seruling, mandolin, biola, fiddle, darbuka, gitar dan bodhran, yang hanya sempat berlatih bersamanya selama enam jam.
“Saya bersyukur kerana mereka terbuka mempelajari lagu irama Melayu dan berjaya mengiringi saya dengan cukup sempurna. Walaupun ada kelainan apabila digabungkan dengan alat muzik itu, ia tetap menarik sehingga mereka sendiri berkata melodi Melayu masih terngiang-ngiang dalam minda mereka,” katanya.
Beliau berkata persembahan itu turut dibantu rakannya Mahani Mahmod, yang bukan sahaja menjadi penata rias dan dandanan malah turut tampil sebagai penyanyi latar.
Sementara itu, pada Julai lepas, Rozita berpeluang berkongsi pentas dengan ikon jaz Indonesia Mus Mujiono, menerusi Solo Keroncong Festival 2025 di negara itu yang mendapat sambutan hangat daripada penonton dan media tempatan.
Rozita berkata pada malam itu,beliau turut menyanyikan dua lagu dengan iringan Orkes Keroncong Asrama Sabah Malaysia yang terdiri daripada pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.
“Dengan jayanya kami dapat mewakili negara tercinta,” katanya sambil menambah beliau turut menerima jemputan daripada penganjur untuk kembali membuat persembahan pada tahun depan.
Dalam perkembangan lain, Rozita sedang giat mempromosikan lagu bahasa Inggerisnya bertajuk A Beautiful Life, ciptaan Kyoji Sky atau nama sebenarnya Roslan Ismail, dengan lirik nukilan sendiri.
“Lagu ini sebenarnya dicipta 10 tahun lepas, tetapi saya kurang yakin ketika itu untuk menerbitkannya. Kini saya akan lakukan proses remix dan remaster, dan insya-Allah bulan depan akan dilancarkan dalam versi baharu. Dengan itu saya juga boleh memohon menjadi ahli MACP (Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad),” katanya.
-Bernama