
SEOUL (Kore Selatan): Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng mengetuai lawatan kerja ke Pusat Konvergensi Kreatif Guro dan Pusat Kebudayaan Belia Cheon Wang di Seoul.
Lawatan tersebut adalah untuk memperkukuh komitmen Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terhadap inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) UNICEF.

Dato Wee berkata, pendekatan bandar Guro dalam menggabungkan pendidikan, teknologi, kreativiti dan budaya ke dalam pembangunan belia memberi inspirasi bermanfaat kepada Kuching Selatan.
“Fasiliti dan program di sini membuktikan bagaimana ruang bandar dapat diubah menjadi hab meriah untuk pemerkasaan belia.
“Ia juga menjadi panduan penting bagi Kuching Selatan dalam merealisasikan status Bandar Mesra Kanak-Kanak, memastikan generasi muda kita mendapat peluang untuk belajar, berinovasi dan berkembang maju,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Delegasi Kuching Selatan berpeluang meninjau pelbagai kemudahan dan program interaktif yang ditawarkan kedua-dua pusat berkenaan, termasuk operasi dron dan pengaturcaraan, videografi, reka bentuk grafik, penerbitan muzik, makmal media dan makmal penciptaan, serta program pengalaman keselamatan bencana.
Selain itu, fasiliti seperti kafe belia, zon permainan papan, auditorium dan studio kreatif turut disediakan, memberi ruang yang selamat serta inklusif kepada kanak-kanak dan belia untuk belajar dan berkreasi.

Lawatan itu turut membuka ruang kerjasama antara Kuching Selatan dan Guro, termasuk kemungkinan penganjuran program pertukaran belia, projek kebudayaan bersama dan perkongsian pengetahuan.
Beliau turut diiringi dalam lawatan itu oleh Timbalan Datuk Bandar, Dato Zaiedi Suhaili dan Penolong Setiausaha Kanan, Lilian Liew.