
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan Sekolah Rendah Agama Majlis Islam Sarawak No.2 Kuching (SRA MIS No.2 Kuching) pada 3 Oktober ini.
Menurut Menteri Muda di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, sekolah yang terletak di Lebuhraya Haji Adenan Satem itu mula beroperasi pada Februari lalu dengan pengambilan sulung seramai 160 murid Tahun 1, melibatkan enam kelas.
“Penubuhan sekolah rendah agama baharu ini bertujuan menampung permintaan tinggi kemasukan murid Tahun 1 ke sekolah-sekolah agama milik Majlis Islam Sarawak (MIS).
“Tahun ini sahaja, Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan menerima 775 permohonan, manakala Sekolah Kebangsaan Agama Ibnu Khaldun, Samarahan menerima 196 permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama Majlis Islam Sarawak No.2 Kuching (SRA MIS No.2 Kuching) di Pejabat Majlis Islam Sarawak, Majma, di sini hari ini.
Beliau mengulas lanjut bahawa dengan kewujudan SRA MIS No.2 Kuching, peluang untuk anak-anak masyarakat Islam di negeri ini mengikuti pendidikan agama formal di peringkat rendah dapat diperluaskan.
Majlis perasmian berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak serta agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Untuk rekod, sehingga 2025, Sekolah-sekolah Agama Majlis Islam Sarawak (SAMIS) adalah berjumlah 12 iaitu 10 Sekolah Rendah dan dua Sekolah Menengah di seluruh Sarawak.
Oleh Masrin Affirah