
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) Sarawak di kediaman rasmi Kasuma Resort hari ini.
Delegasi ini diketuai oleh Pengarah JPN Sarawak, Mahathir Bujang. Tujuan utama kunjungan adalah bagi menjalankan semakan status cip kad pengenalan ke atas ahli keluarga Tun Wan Junaidi serta semua pegawai dan staf yang berada di kediaman rasmi.

Turut serta dalam sesi penyemakan tersebut ialah anaknya, Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima bersama suami, Hakeem, serta Tasneem.
Sesi ini amat dialu-alukan kerana hasil semakan mendapati terdapat beberapa kad pengenalan ahli keluarga yang data cipnya tidak lengkap.

Sehubungan itu, Tun Wan Junaidi menggesa agar seluruh rakyat Sarawak mengambil peluang untuk menyemak kad pengenalan masing-masing bagi memastikan maklumat sentiasa lengkap, sekali gus mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul pada masa hadapan.