
PETRA JAYA: Atlet Sarawak, Jackie Wong Siew Cheer, menyerlah di Stadium Negeri apabila lontarannya dalam acara lontar tukul lelaki pada Sukan Borneo 2025 hari ini berjaya memecahkan rekod kejohanan.
Jackie mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang jaguh lontar tukul rantau ini selepas melakukan lontaran sejauh 61.63 meter yang bukan sahaja menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Sarawak, malah sekali gus menobatkannya sebagai pemecah rekod baharu acara tersebut.
Persaingan sengit turut disaksikan apabila atlet Sabah, Nabil Faiz Ayub memastikan kedudukan di tempat kedua dengan catatan 50.25 meter, sementara rakan sepasukan Jackie, Solomon Guang Zhong Ng menambah koleksi pingat untuk Sarawak dengan meraih gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 43.94 meter.
Kejayaan cemerlang Jackie serta kutipan dua pingat buat Sarawak daripada acara ini menambah lagi pungutan pingat kontinjen negeri, sekali gus memperkukuh pencapaian Sarawak dalam disiplin olahraga di temasya kali ini.
Setakat ini, atlet olahraga Sarawak telah mengumpul 54 pingat keseluruhan merangkumi 14 emas, 21 perak dan 19 gangsa, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan kutipan pingat kontinjen Sarawak pada Sukan Borneo 2025.
Oleh Amanda L