
PETRA JAYA: Kontinjen Sarawak menguasai acara memanah pada Sukan Borneo 2025 apabila meraih enam pingat emas dalam kategori berpasukan yang berlangsung di Stadium Negeri, hari ini.
Emas pertama diraih dalam kategori Barebow Berpasukan Campuran menerusi gandingan Mohd Zullhannizam Mohamad Ali Bohan dan Suryani Effendi.

Kejayaan itu diteruskan dalam kategori Barebow Berpasukan Lelaki apabila trio Mohd Faizal Rosli, Mohd Zullhannizam Mohamad Ali Bohan dan Yahkub Hashim menewaskan lawan untuk pingat emas kedua.

Bagi kategori Kompaun Berpasukan Lelaki yang dibarisi Jaccard Lee, Ryan Yong Shun Lin dan Zhorif Fahim Fadhillah pula menghadiahkan emas ketiga.

Dalam pada itu, kategori Recurve Berpasukan Campuran menyaksikan gandingan Cecil Nathanael Busu Polycap dan Sabrina Ryu Sin Chin menambah emas keempat buat Sarawak.

Sarawak turut unggul dalam kategori Recurve Berpasukan Wanita melalui kombinasi Eunice Kong, Konny Su Yee Wong dan Sabrina Ryu Sin Chin.

Kemenangan gemilang itu dilengkapkan dalam kategori Recurve Berpasukan Lelaki yang dibarisi Cecil Nathanael Busu Polycap, Melvin Tieh Xuan Ruey dan Yu Jie Liew, sekali gus mengukuhkan dominasi Sarawak dengan kutipan enam pingat emas keseluruhan.
Oleh Adele Rissa