
SIBU: Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Promosi Kesihatan di Institusi Pembelajaran (HePiLI) berperanan penting dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga institusi pendidikan merangkumi pelajar prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Teh Jo Hun berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui Program Tunas Doktor Muda dan Kelab Doktor Muda dengan matlamat mendidik generasi muda supaya celik kesihatan serta peka terhadap faktor risiko penyakit tidak berjangkit.
“Kesihatan adalah aset utama yang perlu dipupuk sejak kecil. Usaha ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dan menjadi asas kesejahteraan komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali, di sini, hari ini.
Beliau berkata, BMSS yang disambut setiap September merupakan salah satu elemen dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), iaitu pakej kesejahteraan kesihatan yang diluluskan Jemaah Menteri pada 2020.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai penggerak utama turut dibantu rakan strategik terdiri daripada agensi kerajaan persekutuan, kerajaan tempatan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai rakan strategik yang erat komited menjayakan BMSS bagi meningkatkan literasi kesihatan dan mengukuhkan promosi kesihatan untuk kepentingan pelajar serta warga pendidikan.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk mendukung program HePiLI sebagai platform membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar sejak prasekolah lagi,” jelasnya.
Menurut Dr Teh, sinergi bersepadu antara pelbagai pihak berkepentingan dalam mendidik pelajar tentang kesihatan adalah terjemahan transformasi sistem kesihatan negara daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan.
“Oleh itu, kita harus memperkasakan pelajar agar celik kesihatan, peka terhadap faktor risiko penyakit tidak berjangkit serta membudayakan hidup sihat sejak muda kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat dan melentur buluh biarlah dari rebungnya,” tegas beliau.
BMSS HePiLI bagi kategori sekolah menengah peringkat Bahagian Sibu telah berlangsung di SMK Kanowit pada 11 dan 12 September lalu, manakala kategori sekolah rendah dan prasekolah diadakan di SK Abang Ali.
Sepanjang sambutan di Sibu, pelbagai aktiviti diadakan antaranya senam sihat, pameran kesihatan, demonstrasi keselamatan makanan, promosi kesihatan mental, pemeriksaan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, saringan kesihatan, pemeriksaan mata, derma darah serta permainan interaktif.
Program tersebut turut melibatkan Bahagian Pergigian Sibu, Bahagian Farmasi Sibu, Jabatan Perpaduan Sibu, Majlis Perbandaran Sibu dan KEMAS Daerah Sibu.
Turut hadir wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Jeremy Ling Beng Leh dan Penolong Kanan Pentadbiran selaku mewakili Guru Besar SK Abang Ali, Mohamed Nur Mohamed Zain.
Oleh Akun Giman