BINTULU: Usaha sanitasi awam terus dipergiat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan dipantau pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di daerah ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Christus Buson berkata, usaha tersebut turut melibatkan kawasan perumahan, pasar raya dan bangunan kerajaan.
“Kerja-kerja sanitasi dilakukan oleh pihak Bomba dan BDA dengan pemantauan rapi dilakukan oleh pihak KKM,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu kepada pihak media, semalam.
Menurutnya, ketiga-tiga pihak berkenaan telah melakukan sanitasi melibatkan kawasan lot dan perumahan di penempatan penduduk Sungai Plan.
Terdahulu, operasi berkenaan dilakukan melibatkan pasar raya Sing Kwong (Medan) dan Sing Kwong (Tanjung Batu), Lapangan Terbang Antarabangsa Bintulu dan beberapa buah pasar raya yang lain.
“Operasi Sanitasi menggunakan kaedah penyemburan. Medium untuk penyemburan ialah campuran air dan peluntur (Clorox) dengan sukatan 1:9,” katanya.
Jelas beliau, operasi tersebut juga turut melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju dan BBP Tatau.
Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil berat terhadap kebersihan diri dan memberikan kerjasama khususnya berhubungan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga ketika ini.