
Liverpool berdepan misi getir menentang Palace. - Foto AFP
LONDON: Liverpool, yang tampil sempurna dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, akan berdepan ujian sebenar apabila menentang Crystal Palace yang masih belum tewas malam esok.
Arsenal tidak mampu mengulangi mimpi ngeri menentang Newcastle, manakala pengurus Manchester United, Ruben Amorim amat memerlukan rentetan kemenangan.
Pertemuan mencabar Liverpool di Selhurst Park
Liverpool bermula garang dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, namun pendahulu EPL itu akan diuji hebat di Selhurst Park.
The Reds, yang sering meledak gol pada lewat permainan, sudah lima mata meninggalkan pencabar selepas meraih lima kemenangan liga berturut-turut.
Namun anak buah Oliver Glasner di Palace juga gah di tangga kelima.
Pemenang Piala FA itu satu-satunya lagi pasukan tanpa kalah dalam liga utama dan baru-baru ini mencatat kejayaan menentang skuad Arne Slot, apabila menang menerusi penentuan penalti pada aksi Perisai Komuniti di Wembley, Ogos lalu.
Palace turut seri 1-1 dengan Liverpool di Anfield pada aksi terakhir musim lalu, sebahagian daripada rekod 16 perlawanan tanpa kalah dalam saingan kompetitif sejak April.
Dengan Hugo Ekitike digantung, rekod pembelian termahal Britain, Alexander Isak dijangka mengetuai jentera serangan Liverpool selepas meledak gol sulung bersama kelab itu ketika menang aksi Piala Liga ke atas Southampton pada pertengahan minggu.
Isak dijangka dikawal ketat oleh pemain pertahanan England, Marc Guehi – pemain yang hampir menyertai Liverpool sebelum perpindahan itu gagal pada hari terakhir jendela perpindahan.
Arsenal tidak mampu lakukan kesilapan
Dalam usaha menamatkan penantian kejuaraan liga sejak 2004, Arsenal tidak mampu lagi melakukan kesilapan apabila berkunjung ke Newcastle – gelanggang yang jarang mencetus tuah buat mereka.
Skuad kendalian Mikel Arteta di tangga kedua, muncul naib juara liga tiga musim berturut-turut, kini tercicir di belakang Liverpool selepas tewas kepada juara bertahan di Anfield dan sekadar seri menentang pencabar kejuaraan, Manchester City.
The Gunners, yang kali terakhir menjulang trofi pada 2020, kini menanggung reputasi sebagai pasukan yang mudah goyah ketika berdepan tekanan dan aksi di St James’ Park akan menguji keteguhan mereka sekali lagi.
Arsenal tewas dalam tiga kunjungan terakhir ke St James’ Park, termasuk separuh akhir kedua Piala Liga musim lalu selepas turut kecundang dalam aksi liga.
Newcastle memenangi empat daripada enam pertemuan terakhir di semua gelanggang dan skuad kendalian Eddie Howe memiliki motivasi besar selepas hanya meraih enam mata daripada lima perlawanan pertama musim ini.
Amorim perlu rentak kemenangan
Pengurus Manchester United, Amorim menyasarkan kemenangan liga berturut-turut buat kali pertama apabila bertandang ke gelanggang Brentford yang bergelut, malam esok.
Amorim berdepan banyak detik hitam sejak tiba dari Sporting Lisbon pada November lalu, termasuk kekalahan memalukan Piala Liga di tangan kelab divisyen empat, Grimsby bulan lalu yang menguatkan spekulasi mengenai masa depannya.
United sedikit stabil dengan dua kemenangan liga berturut-turut di Old Trafford menentang Burnley dan Chelsea, kali pertama dicapai sepanjang era Amorim.
Namun pengendali berusia 40 tahun itu masih jauh daripada selamat selepas kekalahan 0-3 di tangan Manchester City, mendedahkan banyak masalah yang terus menghantui skuadnya.
Jika United gagal membawa pulang tiga mata dari Brentford – yang kini di tangga ke-17 selepas kalah tiga daripada lima perlawanan pertama di bawah Keith Andrews – tekanan terhadap Amorim dijangka kian memuncak.
JADUAL EPL MINGGU INI
Malam esok:
Brentford mln Manchester United (7.30 malam)
Chelsea mln Brighton (10 malam)
Crystal Palace mln Liverpool (10 malam)
Leeds mln Bournemouth (10 malam)
Manchester City mln Burnley (10 malam)
Nottingham Forest mln Sunderland (12.30 tengah malam)
Awal pagi Ahad:
Tottenham mln Wolves (3 pagi)
Malam Ahad:
Aston Villa mln Fulham (9 malam)
Newcastle mln Arsenal (11.30 malam)
Awal pagi Selasa:
Everton mln West Ham (3 pagi)
– AFP