NIAH: Sejumlah RM71 juta diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk projek menaik taraf Jalan Ulu Suai di sini.
Abang Johari mengumumkan demikian semasa berucap pada majlis lawatan kerja Projek Menaiktaraf Jalan Ulu Suai di sini semalam.
Katanya, kos projek naik taraf tersebut berjumlah RM68 juta, belum siap projek tersebut, terdapat permohonan tambahan untuk 300 meter Jalan Kampung Iran dengan kos RM3 juta.
“Demi kemudahan rakyat di sini saya katakan teruskan projek Jalan Iran ke jalan pesisir pantai Miri-Bintulu.
“Rakyat di sini sangat beruntung kerana akan mempunyai jalan raya yang lebih tegap dengan cara pembuatan moden,” jelasnya.
Tambahnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi juga memohon Jalan Suai itu terus sambung ke Lebuh Raya Pan Bornoe.
“Siapkan Jalan Ulu Suai dahulu dan bagi saya lima tahun lagi baharu kita menyambung jalan tersebut ke Pan Borneo.
“Jalan sambung ke Pan Borneo boleh kita buat, asalkan bagi Rundi, Majang, James Masing dan saya, menang lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN-12) nanti,” katanya lagi.
Apabila Jalan Ulu Suai siap nanti, kawasan Suai yang terletak di hulu dan luar bandar tidak lagi menjadi hulu kerana terletak di tengah antara Miri dan Bintulu.
Justeru itu, jalan raya yang tegap nanti akan memberi kemudahan kepada rakyat di sini mengeluarkan hasil pertanian seperti kelapa sawit.
Selain daripada itu, penduduk kawasan luar bandar turut diberi kemudahan seperti Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS), katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Utiliti Sarawak’ Dato’ Sri Dr Stephen Rundi dan ADUN Samalaju, Majang Renggi.
Oleh Adum Liu