
SIBU: Seramai 160 pemain golf telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Golf Amatur Sibu 2025 edisi ke-22 di Kelab Golf Sibu (KGS) yang akan bermula pada 26 hingga 28 September ini.
Menurut Presiden KGS, Wong Pak Cheng, kejohanan itu membabitkan penyertaan pemain dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Brunei.
Presiden KGS, Wong Pak Cheng, berkata kejohanan tiga hari itu memperkenalkan Ladies Challenge Cup sejajar dengan peningkatan minat pemain golf wanita.
“Kejohanan ini juga menawarkan hadiah lumayan untuk pukulan Hole-in-One di semua enam lubang par-3, termasuk BMW Motorrad, Toyota Hilux, Proton eMas Premium, Toyota Yaris, wang tunai RM35,000, dan MG4 EV Hatchback,” katanya pada sidang media hari ini.
Hadiah tersebut ditaja oleh individu dan syarikat terkemuka seperti Dato K.H Wong (CEO Ta Ann Holdings Berhad), Mafrica, Grolite, Wong Pak Cheng, Dato Sri Winston Ting Ing Hung, serta Chen Ling Development Sdn Bhd.
“Tanpa sokongan penaja, kejohanan ini tidak mungkin dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Ditubuhkan pada 1969, Kelab Golf Sibu kekal sebagai satu-satunya padang golf di wilayah tengah Sarawak dan walaupun berstatus kelab persendirian, ia turut dibuka kepada orang ramai.
Wong berharap kejohanan ini dapat memupuk minat belia dalam sukan golf serta memberi pendedahan kepada suasana pertandingan bertaraf besar.
Turut hadir pada sidang media ialah Kapten KGS, Wong Lay Nam dan Bendahari KGS, Rali Wong.
Oleh Akun Giman