
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini telah menerima kunjungan perpisahan daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mancha Ata dan isteri, Datin Jennita William, di Astana Negeri.
Kunjungan ini bersempena dengan persaraan wajib Dato’ Mancha pada 29 September ini, selepas menabur bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih tiga dekad.
Sepanjang perkhidmatan beliau, Dato’ Mancha pernah berkhidmat di beberapa negeri termasuk Perak dan Sabah, sebelum kembali ke Sarawak pada 2021 sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri. Pada November 2023, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, sumbangan serta khidmat bakti Dato’ Mancha sepanjang tempoh perkhidmatannya, khususnya dalam memastikan keselamatan dan keamanan di Sarawak sentiasa terpelihara.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut mendoakan agar Dato’ Mancha dan keluarga terus diberkati serta dilimpahi kejayaan dalam kehidupan selepas persaraan.
Turut hadir Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sarawak, Mahbub Mustofa Norsalim, Ketua Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak, Lim San Aik serta Nur Elyanis Yusoff.