
MANILA: Malaysia melakar sejarah baharu apabila pasukan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS) Miri menjuarai kategori Future Engineers pada Kejohanan Robotik Dunia (World Robot Olympiad, WRO) 2025 peringkat Asia-Pasifik yang berlangsung di Manila, Filipina dari 19 hingga 21 September lalu.
Pasukan X-UNITECH muncul juara manakala NOVATECH meraih tempat ketiga, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.
Kejohanan bertemakan ‘The Future of Robots’ itu menghimpunkan 108 pasukan dari 22 negara melibatkan hampir 1,000 peserta termasuk Jepun, Korea, Taiwan, Jerman, Turki, Amerika Syarikat, India dan Singapura.
Kejayaan tersebut disumbangkan oleh enam guru pelatih IPGKS Miri iaitu Vun Xiu Xuan, Alvin Kong Wei Ee, Jennissa Aing Jim, Lai Chaun Choy, Adam Syahmi Mohd Syahrizal dan Muhammad Hakim Khairul Azam dengan bimbingan Dr Hu Laey Nee serta Dr Norsarihan Ahmad bersama jurulatih Tesslab Robotics.
Pencapaian itu menambah rekod cemerlang selepas IPG Sarawak turut menjuarai kategori Robomission Senior di Slovenia pada 5 September lalu.

Menurut penganjur, kejohanan berprestij ini bukan sahaja menguji kemahiran teknologi dan kejuruteraan robotik, malah menjadi platform pelajar belia memupuk inovasi, penyelesaian masalah serta semangat kerja berpasukan.
Pencapaian IPGKS Miri sekali gus membuktikan kemampuan Sarawak memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan inovasi teknologi, seiring usaha Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dalam menyokong pembangunan pendidikan robotik di negeri ini.