
KUCHING: Bengkel SPM STAR 2025 di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) baru-baru ini menekankan kepentingan disiplin dan tekad sebagai kunci kejayaan kepada 198 pelajar dari 21 sekolah menengah sekitar Kuching.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan pintu kepada peluang lebih besar dan pelajar perlu berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan.
Beliau turut menyorot inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang akan bermula 2026 sekali gus memastikan anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri tanpa kekangan kewangan.
Program itu dianjurkan Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama MBKS, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), NEXGEN Petra Jaya dan Majlis Kanak-Kanak MBKS.