
KUCHING: Kontinjen Brunei Darussalam selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pagi tadi bagi menyertai acara sukan serantau, Borneo Games Kuching 2025.
Ketibaan kontinjen itu disambut meriah oleh wakil Jawatankuasa Penganjur Borneo Games Kuching 2025 bersama pegawai-pegawai daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Kontinjen Brunei yang terdiri daripada atlet, jurulatih dan pegawai pasukan dijadualkan mengambil bahagian dalam beberapa acara utama sukan tersebut yang menghimpunkan atlet dari Sarawak, Sabah, Labuan, Kalimantan Timur dan Brunei Darussalam.
Penganjuran Borneo Games Kuching 2025 di Kuching kali ini dijangka mampu memperkukuh hubungan serantau selain menjadi pentas untuk mencungkil bakat baharu dalam pelbagai disiplin sukan.
Temasya berprestij itu bakal berlangsung dari 24 hingga 28 September ini di beberapa lokasi sekitar Kompleks Sukan Petra Jaya.
-UKAS