Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • JCIM SDA 2025 raikan inovasi pembangunan lestari di Kuching
  • Selatan
  • WILAYAH

JCIM SDA 2025 raikan inovasi pembangunan lestari di Kuching

Utusan Sarawak 4 days ago
ANTARA pemenang Anugerah Pembangunan Lestari JCI Malaysia (JCIM SDA) 2025 yang diraikan pada majlis penuh gemilang di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.

KUCHING: Majlis Anugerah Pembangunan Lestari JCI Malaysia (JCIM SDA) 2025 telah berlangsung dengan penuh gemilang di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Majlis berprestij itu diadakan bagi mengiktiraf pencapaian golongan belia dalam bidang inovasi, kepimpinan, dan pembangunan komuniti selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selaku tetamu kehormat, menegaskan bahawa pembangunan lestari bukan sekadar slogan tetapi strategi utama kerajaan Sarawak bagi menjamin masa depan negeri.

“Melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, kita memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi hijau, pelaburan hidrogen hijau, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi penangkapan karbon. Kita juga mahu mengembangkan ekonomi digital untuk mencipta peluang baharu. Sarawak mensasarkan pelepasan sifar bersih (net-zero emission) menjelang tahun 2050,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan skim pendidikan percuma penuh di empat universiti utama negeri bermula 2026, dengan keutamaan kepada bidang kritikal seperti STEM, undang-undang, perubatan, perakaunan dan kewangan.

“Pelajar dari keluarga berpendapatan rendah turut menerima sokongan tambahan kos sara hidup. Inisiatif ini menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-4 dan membuktikan komitmen kita melahirkan generasi berpengetahuan serta berdaya saing,” jelasnya.

Bertemakan ‘Tindakan Tempatan, Impak Global’, Anugerah JCIM Sustainable Development Award (SDA) yang diperkenalkan pada 2017 merupakan inisiatif tahunan Junior Chamber International (JCI) Malaysia bagi mengiktiraf projek-projek inovatif yang menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengerusi Penganjur, Bivi Ling, berkata majlis anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, malah gerakan yang menghubungkan agen perubahan serta memperkasa komuniti.

Sejak penganjurannya, JCIM SDA telah mengiktiraf lebih 200 projek berimpak tinggi di seluruh negara, membantu pemenang meningkatkan keterlihatan dan memperluas rangkaian kerjasama.

Majlis kali ini dihadiri lebih 500 tetamu termasuk pegawai kerajaan, pemimpin korporat, NGO, pemimpin belia serta delegasi antarabangsa, selain menyaksikan pengumuman pemenang dalam 17 kategori berdasarkan SDG serta penganugerahan Projek Terbaik Antara Terbaik.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Uggah serikan program santai PPWE Bukit Saban di Kuching
Next: Empat pili bomba diperiksa di Bintangor, pastikan siap sedia hadapi kecemasan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.