
KOTA SAMARAHAN: Sebuah rumah di Taman Berlian Stabil, Kota Samarahan disambar petir dalam kejadian yang berlaku sekitar 7.35 malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada 7.35 malam.
Susulan itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT dan kenderaan utiliti jenis Hilux.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi, PBK II (TBK) Awangku Ahmad Hanafiah melaporkan bahawa tiada kebakaran berlaku, kerana api telah padam dengan sendirinya sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan menyeluruh termasuk di bahagian siling rumah dilakukan bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran.
“Kesemua penghuni rumah berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.20 malam selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat.
Oleh Shikin Mahmud