Sumbangan disalur, mangsa banjir di Marudi terus diberi perhatian

Facebook
WhatsApp
PRIHATIN…ADUN Machan, Allan Siden Gramong menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir yang di tempatkan di PPS Dewan Suarah Marudi melalui Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Marudi, Rose Edward Tarang.

MARUDI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Marudi hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan. Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, mewakili mangsa terlibat.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri, tiada perubahan jumlah mangsa setakat hari ini, dengan seramai 17 mangsa daripada lima keluarga masih berlindung di PPS.

TERIMA KASIH…Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi, Fazzwan Yunus menyerahkan sumbangan daripada ADUN Machan, Allan Siden Gramong kepada lima Ketua Rumah yang ditempatkan di PPS Dewan Suarah Marudi.

Mereka berasal dari beberapa kawasan terjejas iaitu Kampung Padang Kerbau (tebing sungai), Kampung Cina, Kampung Dagang dan Kampung Narum.

Beliau berkata anggota Angkatan Pertahanan Awam Marudi terus menjalankan pemantauan paras air di kawasan-kawasan terjejas. Bacaan paras air semasa direkodkan menunjukkan Kampung Padang Kerbau mencatat paras 0.32 meter, diikuti Kampung Cina 0.31 meter, Kampung Narum 0.24 meter, Kampung Dagang 0.23 meter dan Kampung Ridan 0.16 meter.

Sementara itu, paras air di kawasan Stadium Marudi dilaporkan telah surut sepenuhnya.

Oleh Jiku Juguong