
BEKENU: Anak-anak Sarawak yang berjaya dan menamatkan pengajian di luar negara digesa untuk pulang ke tanah air bagi menyumbang kepakaran mereka demi kemajuan negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata pembangunan Sarawak harus dipacu oleh rakyatnya sendiri tanpa mengharapkan sepenuhnya bantuan dari luar.
“Seruan ini adalah agar pelajar cemerlang pulang dan berbakti kepada negeri, khususnya dalam membangunkan Sarawak demi masa depan generasi akan datang.
“Kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati. Pembangunan Sarawak terletak di bahu anak-anak cemerlang yang mampu memainkan peranan penting sebagai pelapis generasi kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tahun dan Perasmian Telatak Makan Tahun Kampung Sulab Lada Kelulit, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa menekankan kepentingan pendidikan kerana ia merupakan satu-satunya cara untuk memastikan rakyat Sarawak mampu bersaing dalam arus pembangunan global.
“Premier Sarawak juga menekankan betapa pentingnya pendidikan. Malah, bermula tahun hadapan, kerajaan negeri akan menawarkan pendidikan universiti secara percuma kepada anak-anak Sarawak dalam kursus yang berkaitan dengan keperluan negeri,” ujarnya.
Majlis turut dihadiri oleh Pemanca Dr Ali Mudin, Ketua Gerakan Wanita DUN Bekenu, Kaunselor Hadijah Sheikh Kassim, serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) setempat.
Oleh Adum Liu