
DUSSELDORF (Jerman): Pendakwa raya Jerman telah mengemukakan pertuduhan terhadap Ruja Ignatova, yang digelar “ratu kripto” dan telah lama diburu berhubung peranannya dalam skim penipuan mata wang kripto Onecoin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Warganegara Jerman-Bulgaria berusia 45 tahun itu didakwa mencipta Onecoin dan membangunkan skim piramid penipuan untuk mengedarkannya.
Beliau kini berada dalam senarai 10 penjenayah paling dikehendaki di dunia oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan juga dalam senarai paling dikehendaki Europol.
Ignatova, yang syarikatnya beribu pejabat di Greven, sebuah bandar di barat Jerman, hilang tanpa jejak sejak 2017. Beliau dilaporkan terbang dari Sofia ke Athens pada 25 Oktober 2017 dan tidak pernah muncul lagi.
Ketua pendakwa raya di Pejabat Pendakwa Raya Bielefeld, Carsten Nowak berkata, pertuduhan itu bertujuan menghalang kesalahan penipuan tersebut daripada luput tempoh pendakwaan.
Jika Mahkamah Wilayah Bielefeld membuka prosiding, had masa pendakwaan tidak akan tamat sehingga lima tahun lagi. Pihak penyiasat berharap dapat menangkap Ignatova dalam tempoh itu untuk dibawa ke muka pengadilan.
Pertuduhan setebal 600 muka surat itu menyenaraikan 17,500 mangsa dengan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah €57 juta (US$67 juta). Pejabat pendakwa raya mengehadkan pertuduhan kepada tempoh 2015-2016.
Bagaimanapun, secara keseluruhan jutaan pelabur di seluruh dunia dipercayai terjejas dengan jumlah kerugian mencecah berbilion euro.
Menurut pejabat polis jenayah di negeri North-Rhine Westphalia, tempat Greven berada, aset bernilai sekitar €28 juta telah dirampas sepanjang siasatan. – Bernama-dpa