
KUCHING: Seramai 120 pelajar bersama guru dari tiga sekolah rendah di Sarikei iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Haji Matahir (50 pelajar), SK Udin (40 pelajar) dan SK Petai (30 pelajar) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke TEGAS Digital Village, di sini semalam.
Rombongan tersebut merupakan sebahagian daripada rangka lawatan pendidikan ke Kuching.

Tujuan utama lawatan adalah bagi mendedahkan para pelajar kepada ekosistem digital serta inovasi semasa, di samping memberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menyeronokkan.
Sepanjang berada di TEGAS Digital Village, para pelajar diberi taklimat mengenai peranan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dalam pembangunan teknologi serta diperkenalkan dengan pelbagai kemudahan moden seperti Auditorium dan Maker Lab yang menyediakan ruang pembelajaran interaktif.

Lawatan itu turut disambut dengan penuh keterujaan oleh para pelajar yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke pusat digital bertaraf dunia di negeri ini. Bagi mereka, pengalaman menyaksikan secara dekat kemudahan teknologi memberi gambaran jelas tentang masa depan dalam bidang sains dan teknologi.
Pendedahan berharga itu diyakini mampu menanam minat pelajar terhadap dunia digital, sekali gus memupuk generasi baharu yang lebih bersedia menghadapi cabaran serta peluang dalam era teknologi yang kian pesat berkembang.