
MIRI: Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man gesa Kerajaan Persekutuan beri kelulusan segera terhadap permohonan peruntukan pembangunan (DE) sebanyak RM31,036,000 di bawah Belanjawan 2026 bagi menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh.
Menurut Chiew, perkara itu telah dibentangkan kepada Menteri Kewangan II yang juga memangku Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi menyokong permohonan rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Penaiktarafan ICQS ini penting kerana ia salah satu pintu masuk tersibuk di negara ini, khususnya di sempadan Sarawak-Brunei.
“Sejak beberapa tahun lalu, kesesakan serius di ICQS Sungai Tujoh kerap berlaku, terutamanya pada hujung minggu, cuti umum serta cuti sekolah, sehingga pelawat terpaksa menunggu tiga hingga empat jam untuk melalui proses pemeriksaan.
“Keadaan ini menjejaskan pengalaman pelawat, menimbulkan kos ekonomi tersirat serta mengurangkan aliran pelawat ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, kedudukan strategik ICQS Sungai Tujoh serta kelebihan pertukaran mata wang menjadikan Miri destinasi utama rakyat Brunei untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan.
“Aliran pelawat dari Brunei telah merangsang sektor peruncitan, hospitaliti, kesihatan dan automotif di Miri, malah ia turut menyumbang kepada ‘eksport tidak nyata’ yang memperkukuh permintaan terhadap ringgit melalui perbelanjaan pelancong,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Chiew yakin dengan fasiliti yang lebih cekap dan selesa, masa pemprosesan dapat dipendekkan, sekali gus mengurangkan kesesakan serta menarik lebih ramai pelawat Brunei untuk memilih Miri sebagai pusat beli-belah, rekreasi dan perkhidmatan.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan terus meneliti dan memantau kelulusan serta pelaksanaan projek ini agar ia dapat direalisasikan secepat mungkin demi melancarkan pergerakan rentas sempadan, merancakkan ekonomi tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelawat serta pelabur serantau,” katanya lagi.
Oleh Adum Liu