
KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus membuktikan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi berprestij apabila berjaya melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pro-Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said, dalam teks penganugerahannya berkata bahawa kejayaan para graduan merupakan bukti usaha, pengorbanan, dan ketekunan mereka sepanjang menuntut ilmu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga, pensyarah, serta pentadbiran universiti yang menjadi tulang belakang dalam melahirkan insan berilmu dan berwibawa.

Katanya UiTM sentiasa berusaha memperkukuh kualiti pengajaran dan penyelidikan melalui pelbagai langkah strategik.
Tambahnya, antara inisiatif yang dijalankan termasuk penyertaan pelajar dalam program antarabangsa seperti Pertukaran Antara Budaya Universiti 2025: Memetakan Sarawak ke Pentas Dunia di Dublin, Ireland dan Jom Terokai Bumi Kenyalang 2025 yang menghimpunkan pelajar dari Indonesia, China dan Cambodia.
Di samping itu, UiTM Cawangan Sarawak turut menjalin kerjasama erat dengan industri dan institusi luar negara antaranya Konsortium Bumi Consultant and Services, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak serta Universiti Politeknik Negeri Semenanjung Zamboanga, Filipina.
Katanya, usaha ini telah menzahirkan hasil membanggakan apabila laporan Kadar Bekerja Graduan UiTM 2024 mencatatkan 92.1 peratus, sekali gus mengangkat UiTM sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank.


Dalam amanatnya kepada graduan, beliau mengingatkan bahawa kejayaan yang diraikan ini hanyalah permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih luas dan mencabar.
“UiTM telah membekalkan ilmu, pengalaman dan kemahiran. Kini, terpulang kepada anda untuk terus memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Jangan mudah berputus asa, terus berusaha kerana perjuangan menuntut kejayaan hakiki masih panjang,” katanya pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 Sidang Pertama di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, hari ini.
“Hari ini anda diraikan sebagai graduan, tetapi esok anda adalah pemimpin yang akan mengubah wajah masyarakat dan negara. Jadilah cahaya yang menyinari, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk seluruh dunia,” katanya.
Beliau menutup ucapan dengan peringatan penuh makna, “Anang mudah putus pengarap, terus gawa, asil iya sigi manah,” yang membawa maksud jangan mudah hilang harapan, terus berusaha, akhirnya pasti membuahkan hasil yang baik.
Seramai 1,048 graduan diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Menerusi jumlah tersebut, 264 graduan menerima ijazah sarjana muda dan diploma daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Sukan dan Rekreasi, serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari.
Oleh Norman B