
KOTA SAMARAHAN: Seramai 50 peserta menyertai Bengkel Asas Tarian Ngajat Iban 2025 anjuran Persatuan Main Asal Dayak Sarawak (PEMADAS) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak yang berlangsung di Dewan Taman Samarindah, baru-baru ini.
Pengarah JKKN Sarawak, Noor Seela Sulaiman berkata bengkel berkenaan mencerminkan sinergi positif antara agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat dalam memperkukuh seni budaya tempatan.
“JKKN Sarawak berterima kasih kepada PEMADAS kerana berganding bahu membangunkan bakat dan seni masyarakat.
“Usaha seperti ini dapat memperkasa budaya komuniti Iban dan memastikan warisan bangsa terus hidup dalam jiwa generasi baharu,” katanya ketika merasmikan bengkel itu.

Beliau turut menggesa peserta agar memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memberi manfaat kepada diri sendiri serta komuniti.
Sementara itu, Pengerusi PEMADAS Ali Singka berkata bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan persatuan itu untuk memartabatkan seni budaya masyarakat Dayak.
“Kami percaya kolaborasi dengan JKKN Sarawak akan memperkukuh lagi kedudukan tarian Ngajat sebagai warisan seni yang menjadi kebanggaan rakyat Sarawak,” katanya.
Seorang peserta, Kundai Dugi, turut melahirkan penghargaan kerana diberi peluang mendalami seni tari tradisional itu.
“Budaya dan adat asal Iban wajar terus dipelihara agar identiti kita tidak hilang ditelan arus masa,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting