Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Sukarelawan BSMM jadi tonggak utama dalam sistem kesihatan komuniti
  • Tengah
  • WILAYAH

Sukarelawan BSMM jadi tonggak utama dalam sistem kesihatan komuniti

Utusan Sarawak 13 hours ago
PERASMIAN…..Kevin menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2025 anjuran BSMM Cabang Sibu di sebuah hotel di Sibu, hari ini. Turut hadir, Chua (dua kanan).

SIBU: Usaha sukarela yang dilaksanakan oleh pertubuhan seperti Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) merupakan pelengkap penting kepada inisiatif kerajaan dalam membina masyarakat lebih sihat, selamat dan berdaya tahan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kerja sukarela BSMM secara langsung memperkukuh sistem penjagaan kesihatan kerana ia bermula dengan pengetahuan serta kesiapsiagaan masyarakat itu sendiri.

“Kerja anda melengkapi usaha kerajaan untuk membina Sarawak yang lebih sihat, selamat dan berdaya tahan. Kami komited menyokong organisasi seperti anda kerana apabila kami memperkasakan anda, seluruh komuniti turut diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Kaunselor Kevin Lau pada Majlis Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2025 anjuran BSMM Cabang Sibu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, Hari Pertolongan Cemas Sedunia bukan sekadar sambutan tarikh di kalendar, sebaliknya mengangkat nilai tindakan mudah tetapi luar biasa membantu seseorang ketika saat paling genting.

“Ilmu pertolongan cemas bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah menenangkan anak kecil yang panik serta memberi keyakinan kepada jiran yang menghadapi kecemasan.

“Inilah asas sebenar kepada sebuah komuniti penyayang, dan para sukarelawan Bulan Sabit Merah adalah penggerak utama dalam membina asas tersebut,” ujarnya.

Katanya, sukarelawan yang hadir bukan sekadar tetamu majlis, sebaliknya jaringan wira seharian yang tampil sebagai penghubung pertama dalam rantaian hayat ketika krisis berlaku.

“Sumbangan anda membawa erti yang tidak ternilai, dan komuniti kita menanggung hutang budi yang mustahil dapat dilunaskan sepenuhnya,” katanya.

Mengulas tema sambutan tahun ini, ‘Kami Membuat Perbezaan’ (We Make A Difference), Tiang berkata, ia cukup tepat kerana peranan sukarelawan BSMM bukan diukur melalui majlis besar, tetapi melalui detik-detik penting dalam kehidupan seharian.

“Detik seseorang terselamat kerana ada yang tahu melakukan CPR, detik kecederaan serius dapat distabilkan kerana ada yang tahu menghentikan pendarahan, dan detik sebuah keluarga terselamat kerana ada sukarelawan terlatih berada di sana,” ujarnya.

Beliau menegaskan kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan organisasi seperti BSMM kerana sistem kesihatan yang kukuh bukan hanya bergantung pada hospital, tetapi juga pada pengetahuan serta kesediaan rakyat.

“Pada Hari Pertolongan Cemas Sedunia ini, marilah kita berjanji untuk mempelajari kemahiran ini, menggalakkan keluarga dan rakan-rakan turut mendapat latihan, serta menyokong para sukarelawan yang telah banyak berkorban demi komuniti kita,” kata beliau.

Turut hadir, Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Hiong Kee.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: Lelaki hilang selepas bot dinaiki karam berdekatan Loji Rawatan Air Bayai
Next: Pemantauan dipergiat, beberapa kawasan di Marudi dinaiki air

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.