
BINTANGOR: Pemandu lori sawit cedera ringan selepas terlibat dengan kemalangan kendiri di Jalan Tanjung Genting, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar 8.51 pagi tadi.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bergegas ke lokasi. Setibanya di lokasi, PKO dimaklumkan lelaki dewasa cedera ringan akibat kemalangan kendiri tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, mangsa dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.
“Mangsa telah dibawa ke hospital oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Tiada operasi penyelamatan dilakukan di lokasi. PKO hanya membuat pemantauan serta pembersihan pasca kemalangan,” katanya.
Oleh Earl Anek