
SIBU: Seramai 33 pelajar Tingkatan Lima bersama tujuh guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balleh, Kapit menyertai Program Lawatan Sambil Belajar ke Kuching dari 7 hingga 11 September lalu.
Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai budaya, sejarah, media, pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan sahsiah diri.
Antara destinasi lawatan ialah Cats FM, Kampung Budaya Sarawak, Muzium Budaya Borneo, Tebingan Sungai Kuching, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Pusat Kokurikulum Negeri Sarawak (Kem Santubong) dan Jong’s Crocodile Farm.

Pengetua SMK Balleh, Stanley Bayang berkata beliau gembira kerana pelajar dari kawasan pedalaman berpeluang menyaksikan sendiri pembangunan pesat yang berlaku di Kuching.
“Objektif lawatan ini telah tercapai dengan jayanya dan program ini memberi impak positif kepada peserta dengan pengalaman bermakna yang menyokong pembangunan holistik mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan kewangan dan bantuan sepanjang program berkenaan.
Oleh Tarani Lanting