
MIRI: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiba di Miri tengah hari tadi bagi menyempurnakan majlis Peluncuran Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah, SSLR Fasa 2.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Miri sekitar 12.20 tengah hari dan ini merupakan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak.
Sejurus tiba, beliau berlepas ke Limbang menaiki helikopter bagi Peluncuran Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah dan sebelah petang beliau akan meneruskan lawatan ke Kuching.
Hadir menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Sehubungan itu, di Kuching beliau akan mengadakan pertemuan bersama Majlis Pimpinan Keadilan Sarawak serta menghadiri majlis makan malam bersama komuniti.
Pada esok hari (12 September), beliau akan merasmikan bangunan baharu X-FAB Sarawak Sendirian Berhad di Zo sebelum menunaikan Solat Jumaat bersama jemaah setempat di Masjid Darul Hana, Petra Jaya.
Kemuncak lawatan Perdana Menteri ialah menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang juga akan dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Oleh Adum Liu